Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Minggu solidariti, guru dinasihat tidak buat sebarang spekulasi: STU



KUCHING: Guru dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung semua institusi pendidikan kerajaan mengadakan minggu solidariti dari 29 Oktober hingga 3 November.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Kullin Djayang berkata, malah arahan itu adalah tidak wajib untuk dilaksanakan.

"Ia tidak wajib. Kita menasihatkan kepada guru supaya tidak menimbulkan sebarang kontroversi agar pendidikan di Sarawak dapat diteruskan dengan aman dan penuh hormat," ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, STU sebagai ahli dalam organisasi Education International, menyokong organisasi yang menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi dengan guru, pelajar dan komuniti di wilayah yang terjejas.

Beliau berkata, kesan konflik yang berterusan terhadap kanak-kanak dan orang awam amat membimbangkan.

"Setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan secara selamat, tanpa membahayakan nyawa mereka.

"Setiap guru juga berhak untuk mengajar murid-murid mereka dengan aman, tanpa mengancam nyawa mereka," katanya.

Kullin berkata, pendidikan adalah hak asasi manusia dan STU menentang segala bentuk keganasan dan peperangan.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Pendidikan mengarahkan semua institusi pendidikan kerajaan mengadakan minggu solidariti bagi menyokong perjuangan Palestin.

Utusan Borneo Online

Post a Comment

0 Comments