Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Belanjawan 2024: Permohonan naik gaji penjawat awam tidak keterlaluan - CUEPACS

Adnan beramah mesra dengan peserta selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita, Jati Diri dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat CUEPACS Pahang, di Taman Agroteknologi Mardi Cherating, hari ini. - FOTO BERNAMA


KUANTAN: Cadangan supaya gaji penjawat awam dinaikkan sebanyak RM300, adalah munasabah dan tidak keterlaluan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2024, kata Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.

Beliau menjelaskan, ia memandangkan kali terakhir gaji penjawat awam dinaikkan adalah kira-kira 10 tahun lalu, selain mengambil kira kos sara hidup yang terus meningkat.

Sehubungan itu, katanya, cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan kerajaan sementara Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada 2025.

"Kenaikan gaji kami yang terakhir ialah kira-kira 10 tahun lalu. Amat tidak adil kepada penjawat awam dalam tempoh itu, tidak ada satu pun kenaikan dicadangkan kerajaan.

"Selain itu, ada kira-kira 1.6 juta penjawat awam, justeru sukar untuk kerajaan memberi bonus hingga enam bulan. Oleh itu, kami meminta bonus 1.5 bulan, iaitu angka yang munasabah," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita, Jati Diri dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat CUEPACS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, cadangan itu diutarakan CUEPACS yang turut memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus minimum 1.5 bulan dan diskaun sekurang-kurang 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan, kepada semua penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat ini.

Adnan turut menzahirkan keyakinan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mampu menunaikan hasrat penjawat awam yang telah memberikan perkhidmatan terbaik selama ini. – BERNAMA

Post a Comment

0 Comments