Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Patuh arahan PM, hanya Jata Negara pada bantuan kerajaan, kata Loke


SEREMBAN: Teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan dengan menggunakan lambang parti adalah tepat dan perlu dipatuhi semua pihak.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata ini kerana sumbangan bantuan tersebut adalah daripada peruntukan kerajaan.

“Kalau peruntukan kerajaan hanya ada satu lambang iaitu Jata Negara. Sejak dahulu pun apabila saya datang, (penyerahan) replika cek hanya fokus Jata Negara sebab ini peruntukan kerajaan, memang teguran perdana menteri itu tepat. Apabila PM tegur, ia adalah untuk semua, semua parti, semua menteri,” katanya yang juga menteri pengangkutan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek peruntukan projek mesra rakyat berjumlah RM324,668 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sheikh Ahmad.

Semalam, Anwar ketika di Johor Bahru menegaskan sebarang bentuk penyaluran bantuan kerajaan kepada rakyat tidak boleh disalurkan atas nama dan lambang parti politik sebaliknya atas nama kerajaan.

Sementara itu, mengenai PRK Parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram, Loke, yakin Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.

“Kedua-dua kerusi ini merupakan kerusi campuran, (dan) sudah tentu PH ada kelebihan tambahan pula kita mendapat sokongan daripada Umno Johor selain Johor merupakan kubu Umno selama ini

“Saya yakin (dengan) bantuan daripada Umno ini, bukan sahaja dapat untuk kita mempertahankan sokongan malah mendapat sokongan daripada pengundi Umno dan BN,” katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas, masing-masing menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 5 Sept, manakala hari pengundian pada 9 Sept.

Mengenai PRK DUN Pelangai, Pahang, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Loke berkata PH tidak akan meletakkan calon memandangkan kerusi berkenaan dimenangi BN pada PRU15 lepas.

SPR menetapkan hari pengundian bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Okt ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 23 Sept dan 3 Okt ini.

Post a Comment

0 Comments