Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MAIM, JAIM nafi aniaya guru agama, KAFA

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman. - BERNAMA


MELAKA: Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menolak dakwaan pihak tertentu kononnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menganiaya guru agama serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dengan menukarkan status Gred N11 kepada kontrak khas.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata pihaknya kesal kerana dakwaan terbabit bukan saja memburukkan nama agensi agama itu, bahkan boleh menjejaskan prestasi kerja guru berkenaan.

Beliau berkata, kebanyakan guru berkenaan dikatakan terpedaya dengan andaian yang dibuat pihak tertentu menerusi sesi penerangan khas berkait perjawatan JAIM kepada golongan terbabit baru-baru ini.

"Saya juga ada menerima aduan mengenai perkara itu dan selepas diteliti, ia tidak benar sama sekali. Masalahnya, kebanyakan mereka (guru) tidak bertanya terus kepada JAIM mengenai dakwaan itu, menyebabkan mereka terpengaruh dengan andaian berkenaan.

"Buat masa ini, kita sedang dalam proses penerangan secara berfasa. Apa yang penting, kerajaan negeri menerusi JAIM sesekali tidak akan menafikan hak dan kebajikan guru agama dan KAFA.

"Selagi mampu kita bantu, kita akan bantu supaya kebajikan guru agama JAIM dan KAFA ini akan sentiasa terbela," katanya.

Beliau mengulas dakwaan tular di media sosial kononnya keadaan ratusan guru agama yang berkhidmat di bawah JAIM berada dalam keadaan keliru apabila pengurusan JAIM didakwa menukarkan status guru daripada Gred N11 kepada kakitangan kontrak khas dan diberikan elaun seperti guru KAFA.

Dakwaan itu dikatakan berdasarkan rakaman audio pada sesi taklimat pengurusan JAIM dengan guru berkenaan, baru-baru ini.

Post a Comment

0 Comments