Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ibu bapa pembuli dinasihat jumpa pakar - Dr Norhayati

Imej via Perak Today
TANJUNG RAMBUTAN – Ibu bapa kepada pembuli dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan pada anak mereka dengan pakar berbanding bergantung pada maklumat kurang tepat di laman sosial.

Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Dr Norhayati Nordin berkata, kebanyakan kes buli ini melibatkan kanak-kanak atau pelajar yang tidak pandai mengendalikan masalah.

Justeru, beliau berkata, bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan adalah perkara yang lebih tepat.

“Kadang kala maklumat yang ditemui tidak berkaitan dengan perkara sebenar yang dicari, namun itu adalah tindakan biasa yang selalu dilakukan masyarakat pada zaman sekarang.

“Sekiranya bimbangkan stigma masyarakat, ibu bapa boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerana ada pakar keluarga yang boleh membantu,”katanya selepas taklimat lawatan Yayasan Kesihatan Mental (YKM) ke HBUK, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Norhayati berkata, ibu bapa dinasihatkan terus membawa pelajar ke HBUK supaya masalah dapat dinilai oleh pakar.

Dalam pada itu, katanya, kes buli dalam kalangan pelajar telah berlaku sejak sekian lama namun kurang didedahkan sebelum ini kerana masalah kekangan teknologi pada ketika itu.

“Sekarang semuanya diviralkan, jadi kita boleh lihat perkembangan kes buli sejak akhir-akhir ini. Saya yakin teknologi maklumat memberi banyak kesan dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YKM, Tan Sri Hashim Meon berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan kesihatan mental, pihaknya turut menjalankan program latihan dalam bidang kulinari dan seni jahitan kepada pesakit berkenaan.

Katanya, latihan itu menyasarkan 30 pesakit setiap masa malah usaha ini membolehkan sebilangan pesakit mampu menanggung keluarga dengan hasil pendapatan masing-masing.