Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Enggan kurangkan SJKC, masyarakat Cina harus faham konteks Sekolah Kurang Murid (SKM)


BUKIT GANTANG 3 Jan. - Masyarakat Cina dimin­ta melihat senario pembangunan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini secara lebih praktikal khususnya dalam konteks sekolah kurang murid, biarpun kerajaan memahami pandangan kaum tersebut yang mahukan bilangan sekolah vernakular itu tidak dikurangkan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, walaupun terdapat 1,298 SJKC di seluruh negara, namun 455 dika­te­gorikan sebagai sekolah kurang murid iaitu bilangan pendaftaran muridnya tidak melebihi 150 orang dengan 18 buah sekolah mempunyai kurang 10 murid.

“Dari segi pengoperasian, kalau sekolah itu hanya mempunyai seorang murid, perkara ini sebenarnya tidak kondusif untuk murid itu belajar di situ.

“Bukan hanya kos pengoperasian yang tinggi, tetapi murid itu tidak dapat belajar dalam suasana yang sepatutnya. Dia tidak ada kawan karib, tiada aktiviti bersama murid-murid lain, tiada pertandingan dan persaingan.

“Saya faham pandangan ma­syarakat Cina. Mereka hendak kekalkan jumlah sekolah Cina, tidak mahu kurangkan satu pun sekolah. Namun, kita juga perlu melihat adakah itu baik untuk murid tersebut? Adakah itu sekolah yang baik untuk guru-guru yang mengajar di situ,” soalnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dua buah sekolah kurang murid iaitu SJKC Sungai Rotan dan SJKC Ngai Seng di Trong dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Sin Woon berkata, dalam menyelesaikan masalah sekolah kurang murid, Kementerian Pendidikan mempunyai dua mekanisme iaitu mem­bina semula sekolah baharu atau memindahkan sekolah berkenaan.

Namun katanya, dasar kerajaan ialah memberikan akses pendidikan kepada semua, jus­teru selagi ada permintaan terhadap pendidikan, tidak kira sama ada di bandar, pinggir bandar mahupun di pedalaman, kementerian akan menyediakan kemudahan tersebut untuk rakyat.

“Kita juga menghormati khususnya SJKC yang mempunyai lembaga pengelola sekolah (LPS) dan akan menentukan sama ada mereka mahu berpindah atau kekal beroperasi bagi meneruskan legasi sekolah berkenaan. Mereka boleh kekal beroperasi sehinggalah tiada murid yang berdaftar.

“Kos pengoperasian sesebuah sekolah sebenarnya sangat tinggi. Walaupun hanya ada seorang murid, kita akan tetap menghantar dua pengawal keselamatan, dua kakitangan pembersihan, guru besar, guru dan kerani,” katanya.


jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments