Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Finland Bakal Memansuhkan Pembelajaran Mengikut Subjek

Sistem pendidikan Finland dianggap sebagai salah satu sistem terbaik di dunia. Dalam penarafan antarabangsa, ia sentiasa berada dalam kelompok sepuluh teratas. Bagaimanapun, pihak berkuasa Finland masih tidak selesa dengan kejayaan mereka, dan telah memperkenalkan sistem baru yang mana merupakan satu revolusi sebenar dalam dunia pendidikan.

Pihak berkuasa Finland mahu menghapuskan sistem subjek atau mata pelajaran daripada kurikulum mereka. Akan tiada mata pelajaran fizik, matematik, sastera, sejarah, atau geografi di sekolah-sekolah.
Ketua Jabatan Pendidikan di Helsinki, Marjo Kyllonen, menjelaskan:

“Terdapat sekolah-sekolah yang mengajar dengan cara lama yang pernah memberi faedah pada awal 1900-an – tetapi kini keperluan sudah berubah, dan kita memerlukan satu cara yang lebih sesuai untuk abad ke-21.”

Tidak lagi belajar mengikut subjek, melalui cara baru pelajar akan belajar dengan mengkaji peristiwa dan fenomena dalam format berbilang disiplin (interdisciplinary). Sebagai contoh, Perang Dunia Kedua akan dikaji dari perspektif sejarah, geografi dan matematik. Dan dengan mengambil kursus “Working in a Cafe” pelajar akan mempelajari bahasa Inggeris, ekonomi dan kemahiran komunikasi.

Sistem ini akan diperkenalkan kepada pelajar senior, bermula pada usia 16 tahun. Idea umumnya adalah pelajar diberi peluang untuk memilih topik dan fenomena yang mahu mereka pelajari, dengan mengambil kira cita-cita mereka pada masa hadapan dan keupayaan mereka sendiri. Dengan cara ini, tiada pelajar perlu melalui keseluruhan kursus fizik atau kimia sambil berfikir, “Kenapa saya perlu belajar ‘benda’ ini?”

Format tradisional komunikasi guru-murid juga akan berubah. Pelajar tidak lagi duduk di belakang meja sekolah sambil menunggu cemas untuk dipanggil guru untuk menjawab soalan. Sebaliknya, mereka akan bekerja bersama-sama dalam kumpulan kecil untuk membincangkan masalah.

Sistem pendidikan Finland menggalakkan kerja kolektif, dan ini adalah sebab mengapa perubahan akan memberi kesan juga kepada guru-guru. Pembaharuan sistem persekolahan akan memerlukan banyak kerjasama di antara guru-guru yang mengajar mata pelajaran yang berbeza. Kira-kira 70% daripada guru-guru di Helsinki telah pun melaksanakan kerja-kerja persediaan selaras dengan sistem baru untuk menyampaikan ilmu, dan sebagai imbuhan, guru-guru diberi kenaikan gaji.

Perubahan ini dijangka siap pada tahun 2020.


jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments