Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Trauma ular: KPWKM sedia kaunseling murid terlibat

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada sekumpulan murid sekolah rendah yang terlibat dalam kes ular dicampak ke dalam kolam bagi ujian bina diri di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, langkah itu penting bagi memberi sokongan dan bimbingan kepada murid berkenaan dalam usaha memulihkan semangat mereka akibat insiden itu.

"Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Tindakan mencampak ular bagi menguji keberanian murid adalah tidak patut dan akan menyeksa mental serta fizikal pelajar terbabit, mereka akan menjadi trauma," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.
Satu rakaman video berdurasi lebih dua minit tersebar di media sosial dan mendapat kritikan netizen apabila beberapa murid di dalam kolam berselut menangis dan menjerit setelah ular dicampak ke dalamnya.

Rakaman itu juga menunjukkan beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyiram air dan menyergah pelajar sepanjang modul itu berlangsung.

Sebanyak 45 murid dari sebuah sekolah rendah di Kuala Kangsar menyertai modul latihan berkenaan di pekarangan pejabat APM Kuala Kangsar.

Rohani berkata, beliau secara peribadi telah berjumpa dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan supaya tindakan sewajarnya diambil berhubung perkara itu.

"Beliau telah memberi jaminan bahawa perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan tidak akan berulang," katanya. - BERNAMA

jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments