Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Duit amanah milik pelajar miskin (KWAPM) lesap, kenderaan guru dipecah masuk

SARIKEI: Sejumlah RM35,280 wang tunai milik Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) lesap petang semalam apabila kereta yang dimiliki seorang guru, yang diparkir di tepi jalan dekat sini dipecah oleh dua suspek bermotosikal.

Kejadian berlaku sekitar jam 4.20 petang ketika guru yang berusia 50 tahun dari SMK Julau terbabit sedang berada dalam sebuah premis membaiki komputer di Jalan Masjid Lama dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Mat Jusoh Mohamed berkata, ketika kejadian, mangsa baharu sahaja menunaikan wang milik pelajar tersebut dari Public Bank dekat sini dan meletakkan ke dalam beg sandang miliknya.

“Apabila keluar dari bank dan memandu menuju ke kedai komputer, beg tersebut diletakkan di bahagian bawah tempat duduk hadapan penumpang.
“Mangsa hanya menyedari beg sandang miliknya hilang sekembalinya ke kenderaan dan mendapati cermin hadapan bahagian kirinya pecah, sebelum menghubungi pihak polis,” katanya lagi.

Kata Mat Jusoh, berdasarkan siasatan awal dan keterangan beberapa saksi, jenayah tersebut dilakukan oleh dua suspek bermotosikal.

“Malah mangsa sendiri percaya bahawa dia telah diekori sebaik keluar dari bank tersebut.
Selain wang tunai, turut lesap buku akaun RHB dan ASB milik mangsa.

Polis Sarikei masih berusaha mengesan suspek, dan sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, atas kesalahan pecah kereta dan ragut.

Lanjutan daripada kes ini, Mat Jusoh menggesa orang ramai agar berhati-hati dan berwaspada ketika mengeluarkan jumlah wang banyak dari bank.

“Kita juga menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sebarang barangan berharga di dalam kereta kerana ia menarik perhatian penjenayah,” katanya. – Sarawakvoice

jobs from my.neuvoo.com

Post a Comment

0 Comments