Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Latihan bukan beban, tepuk tangan itu nilai murni - NUTP

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan arahan latihan tepuk tangan kepada guru Terengganu bukanlah satu hukuman.

Presidennya Hashim Adnan berkata bertepuk tangan itu nilai murni yang sememangnya harus diterapkan kepada setiap lapisan masyarakat.

“Pada pandangan saya, arahan tersebut tidak akan membebankan guru atau pelajar yang terlibat.

“Lagipun, bertepuk tangan merupakan satu nilai murni yang perlu diamalkan setiap masyarakat.

“Misalnya, ia boleh dilihat sebagai simbolik dalam menyuarakan perasaan gembira, penghargaan dan sebagainya serta sebagai satu bentuk kelakuan tertib dalam menghormati sesuatu majlis atau acara,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.


Susulan laporan ProjekMMO, pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) semalam mengakui menggesa guru-guru bertepuk tangan sebagai amalan menyerikan majlis rasmi.

Shafruddin Ali Hussin juga mengakui menulis mesej Telegram pada Selasa yang menggesa sekolah-sekolah menjalankan latihan bertepuk tangan, termasuk sewaktu perhimpunan.

Sehari selepas arahan tersebut, tersebar video di Internet yang menunjukkan sekumpulan besar guru dan murid di sekolah rendah di Kuala Terengganu sedang bertepuk tangan.

Isu itu menjadi perbualan hangat media sosial kerana ia dianggap tindakan tidak wajar dan seolah-olah ingin menghukum guru yang tidak bertepuk tangan di majlis Hari Guru peringkat negeri yang dihadiri menteri besar, Selasa lalu.

Namun, isu latihan tepuk tangan untuk guru-guru hanyalah “gurauan” beliau di majlis tersebut, kata Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan menyatakan ia tidak mengeluarkan arahan latihan tepuk tangan untuk guru di negeri itu, kata timbalan menterinya.

Datuk P Kamalanathan juga berkata latihan itu bukan satu keperluan kerana bertepuk tangan hak peribadi individu.

“Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan sedemikian kerana ia bukan satu keperluan. Pandangan saya ia adalah arahan peribadi pengarah pendidikan negeri sendiri.

“Bertepuk tangan adalah hak peribadi individu yang hadir dalam sesuatu majlis dan perkara ini tidak perlu diperbesarkan,” katanya di Shah Alam hari ini.

Malaymailonline

Post a Comment

0 Comments